JITRA – Umat Islam diminta untuk bersikap tenang dan memberi ruang kepada proses yang sedang diambil pihak berwajib dalam menyelesaikan isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya yakin isu itu dapat diselesaikan dengan penuh kebijaksanaan dan semangat perpaduan, khususnya dalam bulan Ramadan.
Beliau berkata, sebarang keputusan yang dibuat harus mengambil kira kepentingan bersama demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Zulkifli berkata dalam menyentuh hal itu, sensitiviti semua pihak perlu dijaga bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.
“Kita rujuk kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri kita biarkan proses berjalan dengan baik dengan semangat Ramadan kita akan dapat menyelesaikan secara berhikmah secara damai.
“Dalam bulan Ramadan ini mesejnya adalah perpaduan masej keharmonian kita ingin membawa semangat Ramadan itu untuk melihat dan meneliti apa pun keputusannya adalah untuk kepentingan bersama kepentingan Malaysia ianya akan diselesaikan sebaiknya dengan mengambil kira semua perkara terbabit kita kena jaga sensitiviti masing-masing bukan satu pihak semua pihak kena jaga sensitiviti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Taddabur Wanita Darul Aman di Pusat Pendidikan Al-Azhar, dekat Tunjang pada Ahad.
Sebelum ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu pembangunan tanah milik sebuah syarikat swasta di Jalan Masjid India, yang sebahagian kecil menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL melalui kenyataan memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat itu bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.