Tuesday, 14, May, 2024
Utama Nasional Hampir RM9 Juta Peruntukan Sekolah Agama dan Tahfiz

Hampir RM9 Juta Peruntukan Sekolah Agama dan Tahfiz

oleh admin

KODIANG : Sebanyak RM8.9 juta diperuntukkan kerajaan bagi membantu institusi-institusi pendidikan Islam di Kedah untuk meningkatkan lagi tahap dan mutu pendidikan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM6.4 juta daripada jumlah itu diperuntukkan bagi membaik pulih dan menaik taraf kemudahan pendidikan bagi institusi pendidikan Islam termasuk sekolah Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

Bagi negeri Kedah sahaja, Kerajaan Perpaduan luluskan sejumlah RM604,180 kepada 36 buah institusi pendidikan Islam ini untuk tujuan kursus dan latihan guru serta bantuan pendidikan seperti meja, kerusi, almari, projektor, papan putih, kabinet buku dan sebagainya. Kerajaan turut akan menyumbang sejumlah RM1.985 juta kepada 28 pondok, tahfiz, maahad dan sekolah agama yang berdaftar di Kedah ini dalam usaha kita menyuburkan lagi pendidikan berteraskan Islam di negeri ini.

Beliau berkata demikian berucap sempena Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah di Kampung Melele, Kodiang, pada Sabtu.

YouTube player

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengetua SMA Nahdhah Hasanah, Mohd Jamil Sadaqi Tajuddin.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju meluluskan sumbangan berjumlah RM2.94 juta kepada 588 masjid kariah di 12 daerah seluruh negeri Kedah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Beliau berkata sumbangan itu bagi tujuan pengimarahan masjid sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang pada tahun ini dengan setiap masjid akan menerima sumbangan berjumlah RM5,000.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM1.2 juta kepada pihak SMA Nahdhah Hasanah Melele bagi tujuan membaik pulih sekolah itu.

Sementara itu, kata beliau, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan bayaran bantuan khas secara one-off berjumlah RM600 setiap seorang kepada guru KAFA di mana seramai 3,260 orang guru KAFA di Kedah menerima manfaat itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com