Thursday, 9, May, 2024
Utama Nasional RM188 bilion Belanjawan 2023 sudah dibelanjakan- PM

RM188 bilion Belanjawan 2023 sudah dibelanjakan- PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA:Sebanyak RM188 bilion daripada RM386.14 bilion Belanjawan 2023 sudah dibelanjakan kerajaan setakat Jun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu meliputi 49 peratus daripada nilai peruntukan iaitu lebih tinggi berbanding tempoh sama dari tahun-tahun sebelumnya.

Begitupun, PM Anwar menegaskan beliau tidak berpuas hati dengan angka itu kerana sepatutnya sudah 60 peratus peruntukan dibelanjakan sehingga Jun lepas.

“Jumlah yang dibelanjakan ini maknanya ada perubahan (dari segi) pelaksanaan cepat dan pantas, jauh lebih baik dari tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024, di Putrajaya pada Jumaat.

Belanjawan 2023 merekodkan peruntukan terbesar berbanding RM332 bilion dalam Belanjawan 2022 dan RM322 bilion untuk Belanjawan 2020.

Jumlah itu meliputi RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan beberapa langkah penting dan segera sebagai ikhtiar awal merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum dibentangkan Belanjawan 2024.

Menurutnya, ia merupakan langkah khusus dalam menyegerakan pelaksanaan projek cakna rakyat.

Tambah beliau, sebahagian program sudah dilaksanakan sebelum ini termasuk memberi pemusatan kuasa, peruntukan tambahan dan kelonggaran tatacara perolehan yang boleh mempercepat pelaksanaan projek.

Antara program baharu ialah menambah peruntukan sebanyak RM100 juta untuk pelaksanaan projek kecil di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), menjadikan keseluruhan untuk tahun 2023 berjumlah RM400 juta.

Peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan juga ditambah sebanyak RM600 juta, menjadikan jumlah keseluruhan untuk tahun 2023 ialah RM1.5 bilion.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan turut bersetuju untuk menyalurkan sebahagian peruntukan penyelenggaraan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi melaksanakan projek penyelenggaraan kecil di sekolah kerajaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com