KUALA LUMPUR:Malaysia berjaya mencatat Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.1 peratus pada 2024 sekali gus melepasi unjuran awal kerajaan.
Pertumbuhan itu juga melebihi jangkaan penganalisis bebas membuktikan reformasi ekonomi sudah mula membuahkan hasil.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat pertumbuhan ini yang didorong oleh pelaburan domestik tertinggi dalam tempoh sedekad, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju dasar negara.
Beliau berkata demikian dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Bank Negara Malaysia dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan semalam berkata ekonomi negara berkembang kukuh 5.1 peratus pada tahun lepas berbanding 3.6 peratus pada 2023.
Selain itu, Tunku Nashrul berkata nilai pasaran modal juga mencatat rekod baharu, mencecah RM4.2 trilion dengan kadar pertumbuhan hampir 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ia bukan sekadar angka tetapi petanda positif bahawa asas ekonomi kita semakin mengukuh,” katanya.
Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Laporan Tahunan 2024, minat belian yang kukuh dalam bursa tempatan selain peningkatan ketara jumlah tawaran awam awal dan pertumbuhan jumlah terkumpul pasaran bon dan sukuk telah meningkatkan saiz pasaran modal kepada RM4.2 trilion pada 2024 daripada RM3.8 trilion pada 2023.
“Namun begitu, Perdana Menteri akur bahawa cabaran struktur itu masih wujud, produktiviti negara perlu dipertingkatkan, daya saing diperkukuh dan ketahanan ekonomi dibina semula dengan berlandaskan prinsip manusiawi dan tata kelola yang baik.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan ketirisan dan rasuah yang merugikan negara dan membantutkan pembangunan,” kata Tunku Nashrul.
Beliau berkata Anwar menyifatkan kerangka Ekonomi MADANI yang dilancarkan pada 27 Julai 2023 bukan sekadar pelan dasar tetapi satu usaha bersama untuk membina ekonomi yang lebih adil, lestari dan menyeluruh agar pertumbuhan yang dicapai dapat dikecapi semua, bukan hanya golongan atasan atau golongan elit.