Monday, 13, May, 2024
Utama Ekonomi Inti pati ucapan PM Anwar semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK12

Inti pati ucapan PM Anwar semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK12

oleh admin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Berikut antara inti pati ucapan Perdana Menteri.

  • Gagasan dalam KSP RMK12 bermatlamatkan “Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi”.
  • KSP RMK12 merestui usaha kerajaan untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.
  • RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun.
  • Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi 2023 hingga 2025 di bawah RMK12.
  • Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12 dan menambah siling sebanyak RM15 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion.
  • Peningkatan bertujuan untuk menambah keperluan bagi membiayai bidang keutamaan rakyat, memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.
  • Dasar Inovasi Sosial akan dilancarkan pada November ini bagi menggalakkan daya cipta pada peringkat akar umbi.
  • Kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan yang maksimum buat negara.
  • Kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi peneraju dalam pasaran halal antarabangsa dengan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion pada 2025.
  • Malaysia akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) ke-15 di Kuala Lumpur pada Disember ini bagi mencerakinkan permasalahan dalam usaha Malaysia mempelopori peningkatan amalan sistem kewangan Islam yang syumul.
  • Kerajaan sedia dana RM346 juta dalam tempoh RMK12 untuk menarik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi.
  • Kerajaan akan menyediakan RM60 juta dana pembiayaan peluang kedua kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan inovatif dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
  • Kebijakan perindustrian mengikut geografi akan diberikan penekanan termasuk Projek Ladang Air Manis di Kulai, Johor dan projek Taman Biopolimer Kertih, Terengganu.
  • Kerajaan telah lulus peruntukan RM1.1 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2025 dalam usaha memperkasa keselamatan dan memperoleh manfaat daripada potensi pembangunan ekonomi rentas sempadan.
  • Kerajaan bertekad untuk merapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dengan bandar, daripada 0.57 pada tahun 2022 kepada 0.67 pada 2025.
  • Pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak akan terus diberikan tumpuan.
  • Projek pembangunan sistem Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan naik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan Felda Sahabat Sabah dengan kos RM195 juta akan dilaksanakan.
  • Lebih banyak projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak. Setakat ini, 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek di Sabah.
  • Sebuah pusat darah wilayah akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak.
  • Sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga.
  • Kerajaan akan memperkukuh penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat melalui Reformasi Perlindungan Sosial yang sedang dikaji.
  • Bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan.
  • Satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.
  • Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 berkaitan pengisytiharan pemunya manfaat sedang disemak semula bertujuan untuk memperkukuh ketelusan pemilikan saham.
  • Dana wakaf akan diwujudkan menerusi kerjasama agensi berkaitan dengan Yayasan Wakaf MADANI sebagai pendekatan baharu dalam membangunkan ekonomi Islam.
  • Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia akan diluncurkan dengan tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia bagi mereka yang menganggur dan terlibat dalam sektor pekerjaan tidak formal.
  • 1,200 klinik daif di seluruh negara akan dinaik taraf untuk tempoh 2023 hingga 2025.
  • Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com