Saturday, 19, April, 2025
Utama Negeri Pemandu rentung dalam kemalangan, polis giat kesan identiti mangsa

Pemandu rentung dalam kemalangan, polis giat kesan identiti mangsa

oleh Ammar Haziq

PENDANG – Seorang pemandu ditemukan rentung selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 65.3 Lebuhraya Utara Selatan , menghala ke utara, pada malam Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Happyzam Abd Rasid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 11.36 malam, memaklumkan tentang insiden berkenaan.

“Pasukan bomba dari BBP Guar Chempedak dan BBP Pendang yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Muslim Al Mubarak bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 11.58 malam.

“Siasatan awal mendapati kereta terbabit dipercayai terbabas, melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya, sebelum terbalik dan terbakar. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam ,” katanya.

Menurutnya, seorang mangsa ditemukan rentung di dalam kenderaan tersebut, namun jantina dan identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan , berkata siasatan awal mendapati kereta tersebut telah dijual oleh pemilik asal pada tahun 2016 kepada seorang individu tempatan tanpa sebarang penukaran nama dalam geran rasmi.

“Polis kini sedang berusaha mengesan pembeli kenderaan tersebut melalui pemilik asal untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk nombor telefon individu berkenaan ,” katanya.

Dalam usaha mengenal pasti identiti mangsa, pasukan forensik IPK Kedah turut digerakkan untuk mendapatkan nombor casis kenderaan yang terbakar.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang gagal dihubungi selepas melalui kawasan itu pada waktu kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Zamzurina Ahmad, di talian 019-3844495 atau hadir ke Balai Polis Pendang,” katanya.

Menurut Mohd Happyzam, operasi pemadaman tersebut melibatkan 15 anggota bomba , dengan bantuan daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gurun dan Tanah Merah.

“Kami bertindak pantas untuk mengawal api dan memastikan lokasi kejadian selamat bagi membolehkan siasatan polis diteruskan,” tambahnya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 .

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com