PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menjelaskan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1 bilion secara berterusan bagi merancakkan produktiviti penanaman padi di Kedah.
“Kita bagi RM1 bilion dan ia adalah berterusan,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam yang menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas untuk mengekalkan status jelapang padi di negeri itu.
Peruntukan RM1 bilion itu sebelum ini diumum Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober tahun lalu, khusus bagi pembangunan infrastruktur menyokong projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun secara berfasa di Kawasan Muda, Kedah.
Projek berkenaan telah dilancarkan Perdana Menteri pada 27 Februari lalu.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM5.376 bilion yang diperuntukkan kerajaan bagi meningkatkan produktiviti padi di seluruh negara.