ALOR SETAR : Kenaikan mendadak harga emas sejak awal tahun memberikan keuntungan besar kepada mereka yang membeli emas dua atau tiga bulan lalu.
Dengan peningkatan harga emas melebihi RM50 pergram, pelabur awal kini mampu menikmati margin keuntungan yang signifikan.
Menurut Pengasas Empayar Emas YL Changlun, Elee Salmi Ishak, fenomena ini menonjolkan potensi emas sebagai aset pelaburan jangka panjang.
“Mereka yang bertindak awal membeli emas kini sudah nampak hasilnya. Harga emas yang melonjak tahun ini bukan sahaja memberikan keuntungan, tetapi juga menjadi bukti betapa pentingnya memiliki emas sebagai simpanan kukuh,” katanya ketika ditemui.
Elee Salmi turut menjangkakan harga emas akan terus meningkat, dengan unjuran mencapai RM600 hingga RM700 bagi satu gram menjelang akhir tahun ini.
Lonjakan harga emas turut mencetuskan fenomena pembelian panik di kalangan masyarakat.
Menurut Elee Salmi, permintaan terhadap emas semakin mendadak sehingga menyebabkan stok emas cepat habis di banyak platform.
“Stok emas kami juga sering tidak mencukupi kerana peningkatan pembelian yang sangat drastik.
“Kilang emas pula terpaksa bergelut untuk memenuhi permintaan. Ini adalah situasi yang jarang berlaku sebelum ini,” katanya.

Pembelian emas dalam kalangan masyarakat kini dilihat sebagai langkah bijak untuk memanfaatkan kenaikan harga pasaran, malah ramai yang mengambil peluang ini untuk melindungi nilai kekayaan mereka.
Elee Salmi menasihatkan masyarakat agar tidak menunggu lebih lama untuk membeli emas.
Menurutnya, emas bukan sahaja pelaburan yang menguntungkan tetapi juga cara terbaik untuk menyimpan nilai.
“Kalau duit disimpan dalam bentuk tunai, mudah habis kerana nafsu berbelanja. Tetapi bila disimpan dalam bentuk emas, lebih sukar untuk digunakan. Ini membantu menguruskan kewangan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya menyimpan emas bagi menghadapi ketidakstabilan ekonomi global, kerana emas kekal sebagai aset yang stabil dan selamat.
Empayar Emas YL Changlun, yang mula beroperasi pada 2019, kini mempunyai lebih 1,500 ejen aktif di seluruh Malaysia dan Indonesia.
Sebagai langkah pengembangan, syarikat ini bercadang untuk memasuki pasaran Singapura dan Brunei, mencerminkan potensi besar industri emas di peringkat antarabangsa.