KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Malaysia telah mengemukakan rayuan kepada kedua-dua pihak yang bertelagah dalam perang saudara Myanmar agar tempoh gencatan senjata yang dijadual tamat pada 30 September dilanjutkan demi memastikan kelangsungan bantuan kemanusiaan.
Anwar berkata beliau telah mengemukakan permintaan tersebut kepada Perdana Menteri Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar Mahn Win Khaing Than.
“Kami telah merayu kepada kedua-dua pihak untuk mengatakan bahawa gencatan senjata adalah penting untuk memastikan bantuan kemanusiaan diberikan,” katanya.
Tambah beliau, bantuan kemanusiaan harus disalurkan tanpa sebarang diskriminasi ke atas mana-mana pihak.
“Bantuan kemanusiaan diberikan kepada semua, tidak sepatutnya ada sebarang diskriminasi seperti yang dipersetujui.
“Jadi kami telah menghantar satu lagi rayuan untuk melanjutkan gencatan senjata, pastikan ia dihormati, ini kerana jika tidak rakyat akan menderita,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan Rumah Belia Madani (RBM) dan Rumah Mampu Milik (RMM) di Mukim Batu, di sini, hari ini.
Lebih 500 pesakit luar telah menerima rawatan di Hospital Medan Malaysia (HMM) kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di daerah Sagaing, Myanmar, susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan junta Myanmar dilaporkan bersetuju melanjutkan tempoh gencatan senjata susulan gesaan daripada pertubuhan bantuan kemanusiaan dan pengantara antarabangsa yang mahu ruang masa tambahan untuk mengurus bantuan pasca bencana.