Wednesday, 7, May, 2025
Utama Ekonomi Struktur Ekonomi perlu dirombak jika mahu gaji setimpal

Struktur Ekonomi perlu dirombak jika mahu gaji setimpal

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Struktur ekonomi negara perlu melalui pembaharuan menyeluruh jika Malaysia benar-benar mahu keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.

Penganalisis ekonomi, Mustafa Ali berkata langkah itu perlu dalam memastikan rakyat, khususnya golongan muda menerima gaji yang setimpal dengan kos sara hidup semasa.

Katanya, kelemahan struktur sedia ada merupakan antara punca utama mengapa pendapatan rakyat, terutama graduan, masih tidak mencerminkan realiti ekonomi hari ini.

“Kenyataan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim, mengenai gaji permulaan sepatutnya mencecah RM7,000 hingga RM8,000 bukan sekadar nostalgia angka, tetapi satu teguran terhadap sistem yang gagal berkembang mengikut keperluan zaman,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, negara terlalu lama bergantung kepada model ekonomi berasaskan kos buruh rendah dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, menyebabkan pertumbuhan pendapatan rakyat terbantut meskipun ekonomi terus berkembang.

“Kita perlu bergerak daripada ekonomi berasaskan kuantiti kepada ekonomi berasaskan kualiti. Ini memerlukan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi, serta pembinaan tenaga kerja yang kompeten dan dihargai sewajarnya,” katanya.

Mustafa menjelaskan, kerajaan kini dilihat sudah mula mengambil langkah ke arah pembaharuan melalui dasar seperti Rangka Tindakan Ekonomi MADANI yang memberi tumpuan kepada sektor teknologi, digital dan tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, inisiatif seperti kenaikan gaji minimum, pemerkasaan program TVET dan latihan semula pekerja adalah langkah asas penting yang harus diperluas dan diperkukuh.

“Perubahan ini sudah mula menunjukkan kesan. Data Jabatan Perangkaan menunjukkan buat pertama kali gaji penengah negara melepasi RM3,000. Ini bukan hanya angka, tetapi isyarat penting bahawa asas baharu sedang dibina,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kejayaan sebenar bergantung kepada konsistensi pelaksanaan dasar dan kesediaan semua pihak termasuk majikan dan institusi pendidikan untuk berubah selaras dengan kehendak ekonomi moden.

“Jika kita mahu lihat anak muda dibayar setimpal, kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan sahaja. Keseluruhan ekosistem kerja, pendidikan dan sikap masyarakat terhadap nilai kemahiran juga perlu berubah,” katanya.

Mustafa turut mengingatkan agar masyarakat tidak terperangkap dalam kekecewaan terhadap masa lalu, sebaliknya menumpukan perhatian kepada hala tuju masa depan negara.

“Isunya bukan sekadar gaji tidak naik, tetapi kenapa sistem lama terus gagal memberi ruang kepada mobiliti sosial. Ini masa untuk menyusun semula langkah, bukan menuding jari,” katanya.

Menurut beliau, perjalanan pembaharuan ini bukan mudah, namun arah tuju semasa menunjukkan bahawa Malaysia sedang melangkah ke landasan yang lebih betul dan mampan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com