Friday, 3, May, 2024
Utama Ekonomi Komuniti pelaburan di Singapura tunjuk minat prospek pelaburan di Malaysia

Komuniti pelaburan di Singapura tunjuk minat prospek pelaburan di Malaysia

oleh admin

SINGAPURA – Komuniti pelaburan yang berpangkalan di Singapura menunjukkan peningkatan minat terhadap prospek pelaburan di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, beberapa syarikat yang berpusat di Singapura sudah berada di Malaysia, namun wujud peningkatan dari segi minat dan potensi pelaburan ke Malaysia.

Bagaimanapun, jelas Anwar, beliau tidak boleh memberikan sebarang perincian lanjut buat masa sekarang.

“Ramai kalangan komuniti kewangan yang berpangkalan di Singapura berminat untuk mengetahui lebih mendalam tentang Naratif Ekonomi MADANI, mereka minta untuk jelaskan mengenai rangka kerja dan dasar mengenainya.

“Saya juga memaklumkan bahawa dasar itu tidak terhad kepada ekonomi semata-mata, tetapi juga kemanusian dan ihsan,” jelasnya kepada media Malaysia, sejurus selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia anjuran Milken Institute di republik itu.

Tambah Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu, komuniti pelabur memberi sokongan terhadap dasar berkenaan dan mengakui bahawa Malaysia berada di persimpangan untuk bergerak ke hadapan.

“Komuniti pelabur menyedari bahawa Kerajaan Perpaduan sudah mulakan perkara ini (pengenalan dasar baharu).

“Mereka menyaksikan wujud perubahan yang penting untuk mengangkat dan memacu negara kepada pada sebuah kuasa ekonomi baharu,” tambah Anwar.

Terdahulu, delegasi Anwar tiba untuk lawatan kerja ke Singapura dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada jam 10.30 pagi Rabu.

Mereka disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Azfar Mohamad Mustafar.

Turut bersama delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri Zambry Kader dan Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Anwar juga turut serta dalam Sidang Kemuncak Asia ke-10 anjuran Milken Institute menerusi sesi A Conversation with the Prime Minister of Malaysia yang dikendalikan oleh pengacara dan ketua koresponden antarabangsa Asia Tenggara, Bloomberg Haslinda Amin.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com