Friday, 9, May, 2025
Utama Nasional Perkembangan penyelidikan klinikal tunjang utama penjagaan kesihatan dan sosio-ekonomi negara  

Perkembangan penyelidikan klinikal tunjang utama penjagaan kesihatan dan sosio-ekonomi negara  

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Penyelidikan klinikal kini menjadi elemen penting dalam memperkukuh sistem kesihatan negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, sejajar dengan kemajuan teknologi dan inovasi perubatan global.  

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa ekosistem penyelidikan klinikal telah menyumbang lebih RM1.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) sejak tahun 2012, selain mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.  

Menurut beliau, penyelidikan klinikal bukan sekadar memperluaskan kemajuan dalam rawatan perubatan, tetapi turut membentuk peluang bagi golongan muda dan profesional tempatan bersaing di peringkat global.  

“Ia bukan hanya soal angka, tetapi tentang memanfaatkan bakat dan pengetahuan, menyediakan platform kepada para profesional kita untuk bekerjasama dengan pemikir terbaik di dunia,” katanya.  

Beliau menekankan bahawa inovasi dalam bidang perubatan harus inklusif, bukan hanya memberi manfaat kepada segelintir tetapi mengangkat kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.  

Dalam usaha mengembangkan ujian klinikal global, Anwar berkata Malaysia perlu mengiktiraf kedudukan Asia sebagai peneraju dalam bidang ini.  

“Kita perlu memupuk kerjasama penyelidikan serta membina rangkaian serantau bagi membangunkan penemuan klinikal yang dapat menangani keperluan kesihatan utama rakyat di rantau ini,” katanya.  

Dengan kemajuan pesat dalam infrastruktur penyelidikan, Malaysia berpotensi untuk menjadi hab utama dalam ujian klinikal global serta merancakkan *pelaburan dalam teknologi dan inovasi kesihatan.  

Malaysia terus mencatat perkembangan signifikan dalam penyelidikan klinikal, dengan 267 kajian baharu dimulakan pada tahun 2024, menurut Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) 2024.  

Dengan pencapaian tersebut, jumlah keseluruhan kajian klinikal yang telah dijalankan di Malaysia melebihi 2,500 sejak penubuhan CRM pada tahun 2012 , sekali gus membuktikan komitmen negara dalam memperkasa sektor perubatan dan penjagaan kesihatan.  

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com