Saturday, 24, May, 2025
Utama Politik Tiada unsur nepotisme gandingan Anwar-Nurul Izzah : PKR Perlis

Tiada unsur nepotisme gandingan Anwar-Nurul Izzah : PKR Perlis

oleh Ammar Haziq

KANGAR – Tidak wujud unsur nepotisme dalam PKR seandainya terhasil gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden manakalanya anaknya, Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden kerana itu adalah kehendak ahli sendiri yang memilih Nurul Izzah sekiranya Naip Presiden parti itu berhasrat untuk bertanding jawatan itu pada Pemilihan parti itu hujung bulan ini.

Walaupun tiada satu ketetapan untuk bertanding untuk merebut jawatan berkenaan pada pemilihan kali ini, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Permatang Pauh, Nurul Izzah adalah antara nama yang disebut dan disokong oleh pelbagai pimpinan sayap dan akar umbi untuk bertanding jawatan itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis, Noor Amin Ahmad berkata, isu nepotisme yang sering ditimbulkan sekiranya berlaku gandingan Anwar dan Izzah ini dalam jawatankuasa parti sebenarnya tidak pernah wujud.

“Kita kena faham soal nepotisme ini apabila kita mempunyai ‘favour’ (terhadap seseorang) dan Datuk Seri Anwar sendiri tidak membenarkan pertandingan barulah dikatakan nepotism tetapi dalam politik ini macam-macam boleh jadi dan kalau hendak kira pada pemilihan lepas juga Nurul Izzah memilih untuk tidak bertanding jadi tidak timbul (soal nepostisme).

“Malah, sebelum ini seperti kita tahu Nurul Izzah pernah menyatakan sokongan dia kepada Datuk Seri Rafizi Ramli dan ketika itu Datuk Seri Azmin Ali masih dalam parti, tetapi terjemahannya tidak semestinya ahli parti akan memilih calon yang disokong sesuatu tokoh itu dan dalam hal itu, ahli tidak memilih Rafizi tetapi lebih memilih Azmin walaupun (Rafizi) ada sokongan dari Nurul Izzah yang juga anak kepada presiden parti (ketika itu).

“Tuduhan (nepostime) ini semua orang boleh buat tetapi budaya dalam PKR ini sedikit berbeza kerana sejarahnya datang dari jalanan dan orangnya biasa bersikap bebas dan terbuka dan apa pun ia mesti melalui proses pemilihan lantaran itu masing-masing boleh menamakan sesiapa sahaja untuk merebut sebarang jawatan,” katanya.

Katanya, hanya kerana Nurul Izzah adalah anak kepada presiden parti tidak semestinya orang lain tidak boleh bertanding.

“Malah sebelum ini semasa dia bertanding sebagai Naib Presiden, tidak timbul pula isu nepotisme ini tetapi ketika hendak mempertimbangkan bertanding jawatan Timbalan, maka wujudlah pula isu nepostisme ini.

“Jadi kalau sekiranya Nurul Izzah bertanding dan menang, saya percaya kempimpinan PKR melihat beliau sebagai seorang banya berpengalaman dan pendedahan serta kemampuannya boleh menggalas tanggungjawab parti dan bagi saya sebenarnya kesediaan dia sebelum ini bertanding untuk Naib Presiden sudah membuatkan saya bangga,” katanya.

Beliau berkata, PKR Perlis menyokong sekiranya Nurul Izzah berminat menawarkan diri menjadi calon Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini.

“Penyertaan beliau akan memberikan peluang pilihan kepada anggota parti, menghidupkan demokrasi dan sekaligus boleh mengukuhkan parti,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com