Wednesday, 2, July, 2025
Utama Ekonomi Malaysia, Rusia perkukuh hubungan dua hala dan teroka kerjasama strategik baharu

Malaysia, Rusia perkukuh hubungan dua hala dan teroka kerjasama strategik baharu

oleh Ammar Haziq

MOSCOW: Malaysia dan Rusia sepakat untuk memperkukuh lagi hubungan dua hala dengan meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, kesihatan serta pertukaran budaya dan saintifik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dicapai hasil pertemuan dua hala beliau bersama rakan sejawatnya dari Rusia, Mikhail Mishustin, di sini semalam yang turut disertai delegasi kedua-dua negara.

“Saya menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Mishustin atas usaha beliau melaksanakan reformasi institusi di Rusia, pendekatan yang selari dengan agenda reformasi yang sedang digerakkan di Malaysia menerusi dasar Kerajaan MADANI.

“Dalam pertemuan ini, kami menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, kesihatan, tenaga, pertanian, pelancongan serta pertukaran budaya dan saintifik,” katanya dalam kenyataan selepas pertemuan itu.

Anwar tiba di Moscow pada Selasa untuk lawatan rasmi empat hari sebelum meneruskan perjalanan ke Kazan, Tatarstan, hari ini. Lawatan tersebut diadakan atas undangan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Perdana Menteri turut mengetuai delegasi Malaysia yang terdiri daripada beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia menyambut baik pelbagai mekanisme sedia ada termasuk Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) yang dijadual bersidang semula hujung tahun ini di Langkawi.

“Dari segi perdagangan, saya menyatakan hasrat Malaysia untuk menggandakan eksport produk bernilai tambah tinggi ke Rusia seperti peranti perubatan, bahan binaan dan panel solar, selain meningkatkan eksport komoditi utama seperti koko dan minyak sawit,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com