Friday, 10, May, 2024
Utama Ekonomi Ekonomi digital diunjur sumbang 25.5 % KDNK menjelang 2025

Ekonomi digital diunjur sumbang 25.5 % KDNK menjelang 2025

oleh Ammar Haziq

Kuala Lumpur: Malaysia mengunjurkan ekonomi digital negara menyumbang 25.5 peratus menjelang 2025 kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 23.2 peratus pada masa ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ekonomi digital negara adalah satu daripada tonggak ekonomi utama Malaysia.

Beliau berkata, pada suku ketiga 2022, ekonomi digital memperoleh pelaburan sebanyak AS$15.7 bilion ( RM73.24 bilion), mengukuhkan statusnya sebagai salah satu sektor yang paling pesat berkembang.

“Usaha ditumpukan menerusi inisiatif strategik nasional Malaysia Digital (MD) pada sembilan sektor penting iaitu perdagangan, pertanian, perkhidmatan, bandar pintar, penjagaan kesihatan, kewangan, kandungan, pelancongan dan ekonomi digital Islam.

“Sektor yang digalakkan ini mempunyai potensi pertumbuhan yang besar, menawarkan banyak peluang, dan penting dalam memacu peralihan Malaysia kepada ekonomi digital.

“Belanjawan 2024 direka untuk memacu pertumbuhan inovasi digital dan teknologi generasi akan datang, meletakkan Malaysia teguh di landasan untuk menjadi ekonomi yang dipacu inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Malaysia Digital Expo (MDX2023) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

Menurutnya, Belanjawan 2024 memperuntukkan sumber yang besar untuk memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), memperkukuh modal insan dan memastikan pembangunan berterusan bakat masa depan.

Anwar menegaskan transformasi digital yang dianggap bidang baru bagi sesetengah pihak, tidak seharusnya meminggirkan penduduk di kawasan pedalaman dan miskin bandar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com