Saturday, 24, May, 2025
Utama Politik Fahmi, Adam Adli curi tumpuan, muka baharu dan lama warnai barisan MPP PKR

Fahmi, Adam Adli curi tumpuan, muka baharu dan lama warnai barisan MPP PKR

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan dua figura politik muda, Datuk Fahmi Fadzil dan Adam Adli Abd Halim, mencuri tumpuan apabila tersenarai dalam kelompok 20 teratas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diumumkan secara rasmi malam tadi.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merasmikan Kongres Nasional Keadilan 2025 di sini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, membuat kemunculan semula dalam barisan kepimpinan parti selepas tidak bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan lalu, sekali gus menunjukkan sokongan akar umbi terhadap peranannya dalam parti dan kerajaan.

Adam Adli pula mengambil langkah tepat menyertai saingan MPP selepas tidak lagi layak mengetuai Angkatan Muda Keadilan (AMK) berikutan usia melebihi had ditetapkan, sekali gus membuktikan daya saingnya dalam kalangan pemimpin senior parti.

Turut mencatat kemenangan ialah bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai; serta figura seni yang kini aktif dalam politik, Altimet atau nama sebenar Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, yang juga ADUN Lembah Jaya.

Pemilihan kali ini turut menyaksikan beberapa nama dikaitkan dengan kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, terus mendapat tempat dalam barisan kepimpinan parti.

Antara mereka ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; serta Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Proses pemilihan bagi jawatan MPP dijalankan dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan berlangsung dalam suasana tenang serta teratur, menandakan kematangan demokrasi dalam parti.

Dengan keputusan ini, jelas kelihatan gabungan pemimpin muda dan berpengalaman bakal memainkan peranan penting dalam menerajui hala tuju PKR menuju masa depan yang lebih inklusif dan progresif.

Berikut adalah senarai penuh MPP PKR 2025-2028:

  1. Datuk Fahmi Fadzil
  2. Adam Adli Abd Halim
  3. Chan Ming Kai
  4. G Gunarajah
  5. Azlan Helmi
  6. Dr Maszlee Malik
  7. Goh Choon Aik
  8. Nurin Aina Abdullah
  9. Elizabeth Wong Keat Ping
  10. Abang Zulkifli Abang Engkeh
  11. Siti Aishah Shaik Ismail
  12. Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad
  13. Akmal Nasrullah Mohd Nasir
  14. Amidi Abdul Manan
  15. Lee Chean Chung
  16. Azam Karap
  17. Syed Ibrahim Syed Noh
  18. A Kumaresan
  19. Sim Chon Siang
  20. G Sivamalar

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com