ALOR SETAR – Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA FC) menghadapi detik sukar apabila gagal memperoleh Lesen Kebangsaan bagi musim 2025/2026, menyebabkan mereka tidak dapat beraksi dalam Liga Super musim depan.
Pemilik majoriti kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, dalam satu kenyataan rasmi memohon maaf kepada penyokong Hijau Kuning serta semua pihak yang terkesan dengan keputusan ini.
“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekurangan yang berlaku dan melihatnya sebagai pengajaran penting untuk menilai semula struktur serta hala tuju kelab,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa pihak kelab sedang mencari penyelesaian terhadap tunggakan kewangan yang masih belum dijelaskan dan akan memuktamadkan kaedah penyelesaian selepas sesi perjumpaan bersama pihak berkaitan.
Walaupun kehilangan tempat dalam saingan Liga Super, KDA FC tetap berusaha untuk kekal relevan dalam arena bola sepak negara.
“Ini bukan pengakhiran buat Sang Kenari, tetapi peluang untuk memperbaiki dan membina semula asas yang lebih kukuh,” tambahnya.
Kelab kini mempertimbangkan beberapa pilihan lain, termasuk penyertaan di platform alternatif yang seiring dengan usaha pemulihan mereka.
Dalam pada itu, beliau berharap penyokong akan terus memberikan sokongan kepada kelab dalam melalui fasa ‘hibernasi’ sebelum kembali lebih tersusun dan mantap.
“Dengan sokongan berterusan daripada penyokong Hijau Kuning, kami percaya KDA FC akan bangkit lebih stabil dan lebih kuat,” katanya.