Sunday, 28, April, 2024
Utama Sukan Kembalikan kegemilangan sepak takraw Kedah

Kembalikan kegemilangan sepak takraw Kedah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari ke-57 yang membuka tirai pada 22 Januari depan bakal menjadi pentas buat sepak takraw Kedah untuk kembali bangkit daripada zaman kesuraman.

Exco Sukan Negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din berkata, mereka meletakkan kepercayaan tinggi kepada Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) untuk mengembalikan semula kegemilangan Kedah yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai antara juara selain melahirkan ramai bintang-bintang dalam sukan ini.

“Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 2024 bakal menjadi saksi kebangkitan semula permulaan sepak takraw negeri Kedah,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Sebanyak 18 pasukan dari seluruh negara bakal menyertai Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari ke-57 yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar yang berlangsung selama tujuh hari.

Muhammad Radhi berkata lagi, sepak takraw negeri itu dilihat tenggelam sejak sekian lama dan 2024 bakal menjadi tahun kebangkitan buat Kedah Eagles untuk kembali mendaki ke pentas saingan tertinggi negara.

Sementara itu, Syed Unan Mashri berkata, Pestak akan kembali bernafas selepas mendapat jaminan daripada beberapa pihak yang bersedia menaja secara tahunan terutamanya dalam mengadakan liga sepak takraw bagi mencungkil bakat baharu.

Menurutnya, tempoh beberapa tahun perlu diberikan kepada Pestak untuk merencanakan perancangan mereka dan Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 2024 menjadi pentas pertama pada tahun ini mengukur keupayaan sebenar pasukan.

“Tahun ini kita akan cuba menganjurkan program pembangunan dan liga di peringkat daerah ataupun jabatan-jabatan. Bila tidak ada liga seperti ini, jika tidak ada penajaan juga kami tidak dapat bergerak (sebelum ini),” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com