JOHOR BAHRU: PKR akan mengadakan mesyuarat khas Biro Politik pada 29 Mei ini bagi membincangkan perancangan dan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu dijadual berlangsung selepas Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, dan akan memberi tumpuan khusus kepada program serta kesiapsiagaan jentera parti menjelang PRN berkenaan.
“Mungkin dalam beberapa hari ini, sebelum ramai yang akan ke Mekah dan ada pemimpin kita ke sana, (saya) turut mendoakan mudah-mudahan (mereka) mendapat haji yang mabrur.
“…tapi sementara sebelum dia pergi, sebaik sahaja selesai ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, mungkin 29 hari bulan ini kita akan adakan mesyuarat biro politik untuk rangka program PRN Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2024/2025 yang berakhir Sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut memaklumkan bahawa perbincangan awal sudah dilakukan dengan pimpinan utama rakan gabungan Kerajaan Perpaduan, termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya telah bincang untuk memastikan kerjasama boleh dilakukan dengan syarat suatu pengiktirafan tentang usaha Keadilan dan PH, supaya diberikan peluang untuk bersama-sama bekerja memperjuangkan dan membela nasib rakyat Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa PKR dan PH akan memperoleh jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang munasabah untuk ditandingi dalam PRN akan datang.
Sebelum itu, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dalam ucapan penggulungan dasar Presiden, menyuarakan harapan agar PKR diberikan sekurang-kurangnya 13 kerusi untuk ditandingi dan mencadangkan agar rundingan bersama parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan segera dimuktamadkan.