Friday, 30, May, 2025
Utama Nasional ASEAN terus kukuh hasil usaha konsisten pemimpin serantau – PM

ASEAN terus kukuh hasil usaha konsisten pemimpin serantau – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kestabilan yang dinikmati rantau ASEAN selama ini adalah hasil daripada usaha konsisten dan komitmen para pemimpin negara anggota dalam memastikan keamanan dan kemajuan bersama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kepimpinan politik di rantau ini bukan sahaja memberikan jaminan terhadap kestabilan, malah telah merangka dasar-dasar yang jelas serta menyediakan ruang untuk penerapan teknologi baharu, khususnya dalam menarik pelaburan strategik ke ASEAN.

“Pimpinan politik telah memainkan peranan mereka. Kini bola di tangan anda… komuniti perniagaan, pemain korporat dan kapten industri perlu merebut peluang ini dan melakukan yang terbaik kerana kerajaan telah menyediakan dasar yang jelas,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Forum Ekonomi Forum sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di sini, pada Selasa.

Katanya lagi, sudah tiba masanya pihak industri mengambil peluang sepenuhnya daripada dasar-dasar progresif yang digubal oleh kerajaan dan memberi jaminan bahawa manfaat daripada kestabilan politik serta ketegasan dasar ekonomi dapat dinikmati sepenuhnya oleh negara.

“Sekarang menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan bahawa kerajaan dan negara mendapat manfaat hasil keteguhan kepimpinan politik serta ketelusan dasar ekonomi,” tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata para pemimpin ASEAN sepakat untuk terus mempertahankan prinsip kepusatan (centrality) dalam membentuk pendekatan serantau yang mampan dan inklusif, terutamanya dalam menghadapi cabaran global semasa.

“Prinsip ini akan menjadi panduan dalam melindungi kepentingan serantau dan merangka iklim ekonomi yang lebih lestari,” katanya.

Menyentuh kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), beliau menyifatkan badan itu sebagai ‘dynamo’ utama bagi pertumbuhan dan ketahanan ekonomi di Timur Tengah.

“GCC telah menunjukkan kemampuan luar biasa dalam mengekalkan daya tahan, memberi tumpuan kepada kekuatan dalaman serta berani melakukan transformasi melalui teknologi baharu, pendigitalan dan kecerdasan buatan,” ujarnya.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan hubungan dengan China yang disifatkan sebagai jiran penting kepada ASEAN serta rakan kongsi strategik dalam mendorong keamanan dan pembangunan serantau.

“Mengapa China? Kerana China telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama ke arah keamanan dan pembangunan bukan sahaja di rantau ini, malah di peringkat global. China juga secara terbuka menyatakan komitmennya untuk mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau,” katanya.

Tambah beliau, keupayaan China dalam membawa perubahan dari segi ekonomi dan teknologi adalah jelas, manakala ASEAN pula terus komited terhadap prinsip-prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat.

“ASEAN akan terus berpijak di bumi nyata, memberi tumpuan kepada aspek kemanusiaan dan memastikan keadilan dapat dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com