Wednesday, 22, May, 2024
Utama Nasional Ekonomi Malaysia berdaya tahan di sebalik cabaran dunia

Ekonomi Malaysia berdaya tahan di sebalik cabaran dunia

oleh admin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ekonomi Malaysia mampu berdaya tahan dan menganjak pertumbuhan di sebalik cabaran pasaran global.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kadar inflasi menurun daripada 2.8 peratus pada Mei 2023 kepada 2.4 peratus pada Jun 2023.

Katanya, pengangguran juga berjaya mencatat kadar terendah pasca pandemik sebanyak 3.4 peratus pada Jun lalu berbanding 3.5 peratus bulan sebelumnya.

“Inflasi domestik Malaysia pada Jun 2023 juga adalah rendah berbanding beberapa ekonomi maju dan serantau lain seperti United Kingdom (7.9 peratus), Filipina (5.4 peratus), Singapura (4.5 peratus), Indonesia (3.5 peratus) dan Amerika Syarikat (tiga peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai ekonomi Malaysia yang berkembang sederhana kepada 2.9 peratus pada suku kedua 2023.

Anwar berkata, bergerak ke hadapan, bagi separuh kedua 2023, permintaan luaran dijangka akan terus terkesan dengan ketidaktentuan global.

Beliau berkata, ini adalah membabitkan ketegangan situasi politik, gangguan dalam rantaian bekalan yang berterusan, dasar monetari yang ketat untuk meredakan inflasi global serta prospek pertumbuhan ekonomi utama yang kebanyakannya adalah rakan dagang Malaysia.

“Namun begitu, kerajaan berpegang teguh kepada unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.

“Landskap ekonomi dalam negeri kekal utuh berdasarkan statistik yang ada. Bagi memacu pertumbuhan dalam negeri, kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal responsif dan meneruskan usaha untuk mempercepatkan pencapaian pelaburan yang telah diluluskan serta menyegerakan pelaksanaan projek-projek kerajaan,” katanya.

Anwar berkata, sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, kertas-kertas dasar iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, dan Belanjawan 2024 akan memperhalusi strategi-strategi dan langkah-langkah untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia serta menjamin pembangunan inklusif untuk rakyat.

Beliau berkata, aspek tumpuan termasuklah menambah baik proses untuk mengendalikan perniagaan, membawa pelaburan-pelaburan berkualiti untuk menjana pekerjaan bergaji lebih tinggi, memastikan tatakelola baik, dan memperkukuh perkhidmatan awam yang berkualiti serta prasarana yang lebih baik bagi mempertingkatkan mutu hidup rakyat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com