PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa keutamaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ditentukan bersama dengan kerajaan negeri, dan bukan diputuskan secara unilateral oleh Putrajaya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan ini menunjukkan keseriusan kerajaan Perpaduan dalam memastikan permintaan dan keperluan negeri-negeri diberi perhatian sewajarnya melalui perbincangan terus antara kedua-dua pihak.
“(Projek) RMK13 bukan saya kata tidak berlaku, dahulunya ada permintaan disaring oleh kementerian-kementerian Persekutuan … sekarang tidak, permintaan itu (dibincangkan) secara langsung (dalam mesyuarat) yang dipengerusikan Perdana Menteri, ada Ketua Menteri, ada menteri-menteri negeri.
“Secara langsung kita dengar dan beri perhatian. Sebenarnya hal ini hanya berlaku kerana keseragaman, hubungan akrab dan baik kerana saling meyakini antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Dalam ucapannya, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji serta Kerajaan Negeri Sabah atas sikap terbuka dan semangat kerjasama yang erat bersama pimpinan Persekutuan dalam mengangkat kemajuan negeri dan negara.
Menurut beliau, kekuatan Sabah harus dibina berasaskan semangat perpaduan antara kerajaan pusat dan negeri dalam kerangka Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak menimbulkan isu-isu yang boleh meretakkan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan Sabah hanya semata-mata untuk meraih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Dalam pergelutan menjelang pilihan raya ini … pimpinan yang pernah memimpin, yang bersama, kadang-kadang lupa semata-mata untuk menghangatkan suhu politik, membangkitkan isu-isu yang menimbulkan terhakisnya keyakinan kepada negara, perkara ini tidak sihat,” katanya.
Anwar juga menekankan bahawa perbezaan budaya, kaum, agama dan wilayah antara Sabah, Sarawak serta negeri-negeri lain di Semenanjung harus dilihat sebagai aset yang memperkukuh negara, bukan punca perpecahan.
Beliau turut mengimbas kembali ketika Malaysia ditubuhkan, yang mana moto “Bersekutu Bertambah Mutu” dipilih untuk mencerminkan kekuatan dalam kepelbagaian sebagai asas kemajuan bersama.
“Kepelbagaian juga boleh meruntuhkan (sesebuah negara) … ada di negara di dunia pada awalnya menerima kepelbagaian kaum dan agama, kemudian timbul permusuhan antara kaum, agama dan wilayah. Negara mana yang boleh berjaya begitu? Semua hancur lebur.
“Jadi, betapa susah pun, betapa sukar sekalipun, pimpinan yang waras dalam kempen politik untuk rebut jawatan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau Ahli Parlimen mesti ingat, jangan korbankan negeri dan negara ini,” ujar beliau.