ALOR SETAR – ASEAN kini berada di persimpangan penting dalam membentuk masa depan perdagangan global, dengan Malaysia memainkan peranan utama dalam merangka strategi perdagangan tiga hala bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Menurut Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, ASEAN perlu lebih berani dalam memimpin usaha ini kerana rantau ini berpotensi menjadi penggerak utama dalam perdagangan global.
“Kesepakatan perdagangan antara ASEAN, GCC dan China bukan sekadar mengenai angka dan statistik. Ia adalah langkah strategik untuk memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang, memanfaatkan potensi sektor baharu seperti ekonomi digital, tenaga hijau, dan kewangan Islam,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa cabaran utama adalah memastikan setiap negara ASEAN mendapat manfaat secara adil daripada perjanjian ini.
“Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, perlu memastikan perjanjian ini bukan sekadar menguntungkan pihak luar, tetapi juga mengukuhkan kekuatan ekonomi serantau,” tambahnya.
Mohd Faiz berkata, Dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China baru-baru ini, pemimpin ASEAN menekankan kepentingan memperkukuh hubungan ekonomi dengan dua blok perdagangan utama dunia itu.
Perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara ketiga-tiga pihak bukan sekadar membina laluan perdagangan baharu, tetapi turut memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang serta daya tahan rantau ini terhadap cabaran global.
“Data menunjukkan hubungan perdagangan antara ASEAN, GCC, dan China semakin berkembang pesat apabila Perdagangan ASEAN-GCC mencecah USD130.7 bilion pada 2022 dan dijangka meningkat 30% setiap tahun.
Perdagangan ASEAN-China juga melebihi USD722 bilion, menjadikannya rakan dagang terbesar ASEAN selama 14 tahun berturut-turut,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam usaha membina seni bina perdagangan lebih teguh, ASEAN kini menggerakkan tiga trek utama iaitu peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, yang hampir siap dan melibatkan bab baharu dalam perdagangan digital serta ekonomi hijau.
Menurutnya, rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-GCC, yang sedang melalui kajian kebolehlaksanaan dan Perjanjian Perdagangan Bebas China-GCC, yang hampir dimuktamadkan selepas rundingan berpanjangan.
“Dengan kedudukan strategik di Indo-Pasifik, ASEAN berpeluang menjadi penghubung utama antara GCC dan China, memastikan manfaat perdagangan lebih menyeluruh dan seimbang.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia telah mengorak langkah penting dalam mempercepat penyelesaian ACFTA 3.0, menyokong jadual jelas untuk rundingan FTA ASEAN-GCC, serta mencadangkan mekanisme tetap bagi menyelaras trek perdagangan ini secara strategik,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa ASEAN perlu menjadi pemimpin dalam usaha memperkukuh perdagangan global, bukan sekadar mengikut arus.
Dengan cabaran seperti sekatan perdagangan yang semakin meningkat, ASEAN mesti memastikan ia terus memainkan peranan aktif dalam sistem perdagangan dunia.