Friday, 6, June, 2025
Utama Nasional Kemudahan lengkap, budaya tempatan teras pembangunan Kota Madani

Kemudahan lengkap, budaya tempatan teras pembangunan Kota Madani

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Konsep pembangunan Kota Madani menekankan penyediaan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, sewaktu pembentangan konsep itu pada Selasa, dimaklumkan bahawa antara kemudahan yang dirancang termasuklah sekolah menegak, institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta institusi kewangan.

“Selain itu, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan sebuah masjid, semuanya akan dibangunkan berdekatan kawasan perumahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata, fasa pertama pembangunan melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun 2027.

Beliau turut memaklumkan bahawa reka bentuk masjid dan sekolah dalam projek itu akan menampilkan unsur budaya tempatan, sejajar dengan usaha mengekalkan seni bina serta warisan negara.

“Semoga segala perancangan ini berjalan lancar dan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi manfaat bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com