KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia atas sokongan serta bantuan penuh terhadap skuad Harimau Malaya yang mencipta kejayaan besar 4-0 menewaskan Vietnam, malam tadi.
Dalam satu kenyataan, FAM memaklumkan bahawa selain peruntukan khas kepada pasukan kebangsaan, kerajaan turut memainkan peranan penting dalam mempermudah proses dokumentasi pemain warisan baharu yang akhirnya berjaya diturunkan dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Sokongan daripada kepimpinan tertinggi negara serta semangat padu penyokong adalah faktor penting yang membantu kejayaan pasukan. Kami berharap momentum ini dapat diteruskan bagi memastikan Harimau Malaya terus melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Skuad negara kini dalam persiapan untuk menghadapi baki perlawanan kumpulan F, dengan harapan untuk terus mencatat keputusan cemerlang dan mengukuhkan kedudukan sebagai antara pasukan terbaik di Asia.
FAM turut menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan kepada Harimau Malaya dalam usaha membawa nama negara ke tahap lebih tinggi di arena bola sepak dunia.
Dalam aksi di hadapan lebih 60,000 penonton semalam, Malaysia menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam dengan meledak empat gol tanpa balas hasil jaringan Joao Figueiredo pada minit ke-49, Rodrigo Holgado (’59), Corbin Ong (’67) dan Dion Cools (’89).
Keputusan dilakar itu menyaksikan Malaysia merampas kedudukan pendahulu Kumpulan F dengan mengumpul enam mata manakala Vietnam di tempat kedua dengan tiga mata.