KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pengecualian pembayaran levi selama setahun kepada semua institusi pendidikan swasta termasuk pendidikan vokasional, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan bertujuan memberi ruang kepada institusi terbabit untuk lebih menumpukan usaha ke arah peningkatan mutu pendidikan dan latihan.
“Setelah banyak pandangan dikemukakan berhubung pendidikan dan latihan, kerajaan buat pertama kalinya dalam sejarah memutuskan pengecualian pembayaran levi selama setahun. Ini melibatkan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pendidikan vokasional serta institusi pendidikan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week, NTW) 2025 anjuran HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di Bukit Jalil, di sini, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia memantau prestasi institusi pendidikan dalam menyediakan latihan berkualiti kepada pelajar.
“Pada masa sama, syarikat swasta yang merekod keuntungan tinggi juga perlu dipantau agar dapat memberikan pulangan wajar kepada pekerja masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Kesuma dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 1,668 institusi pendidikan akan menikmati manfaat pengecualian levi tersebut, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM46 juta.
NTW 2025 berlangsung dari 14 hingga 21 Jun, menawarkan lebih 65,000 peluang latihan percuma di seluruh negara dan secara dalam talian.
Buat pertama kali, NTW turut dibuka kepada semua warganegara ASEAN, selaras dengan usaha memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kemahiran dalam kalangan rakyat Malaysia dan serantau