KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 akan diteruskan seperti yang dirancang, meskipun berdepan pelbagai tohmahan daripada pihak tertentu.
Beliau berkata, pendekatan rasionalisasi subsidi itu penting demi memastikan keupayaan negara menyalurkan bantuan yang lebih berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Sama ada kita akan laksana subsidi bersasar RON95? Ya, kita akan teruskan. Ini penting kerana kita mahu pastikan sumber negara dimanfaatkan untuk bantu golongan miskin, memperkukuh pendidikan dan memperbaiki perkhidmatan awam termasuk kesihatan,” katanya ketika ditemui pada majlis Energy Asia 2025, semalam.
Anwar turut menolak dakwaan pembangkang yang menggambarkan seolah-olah rakyat akan terkesan secara menyeluruh, sambil menyifatkan ia sebagai gimik politik yang tidak berpaksikan fakta.
Menurut beliau, langkah itu tidak akan membebankan sebahagian besar rakyat seperti yang digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya menjadi mekanisme penyusunan semula subsidi yang lebih telus dan adil.
“Banyak kempen negatif disebarkan mengenai RON95. Tapi realitinya, subsidi bersasar ini dibuat dengan pertimbangan teliti agar hanya yang layak menerima manfaat,” jelasnya.
Pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 sebelum ini diumumkan dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Oktober lalu, dengan sasaran pelaksanaan bermula pertengahan tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga sebelum ini memaklumkan bahawa rancangan rasionalisasi subsidi itu masih kekal mengikut jadual dan akan dilaksanakan dalam separuh kedua tahun ini.
Jelas beliau, perbincangan mengenai mekanisme pelaksanaan sedang diteruskan di peringkat Jemaah Menteri bagi memastikan pelaksanaannya menyeluruh serta tidak membebankan rakyat.
Langkah penyasaran subsidi ini turut dilihat sebagai sebahagian daripada reformasi fiskal kerajaan untuk menguruskan kewangan negara dengan lebih berhemah dalam jangka panjang.