Thursday, 9, May, 2024
Utama Nasional ASEAN ada konsensus, dihormati kuasa-kuasa besar dunia

ASEAN ada konsensus, dihormati kuasa-kuasa besar dunia

oleh Ammar Haziq

JAKARTA : Biarpun ada masanya terdapat perbezaan pendapat di kalangan negara-negara ASEAN, namun konsensus yang dipersetujui bersama ialah rantau ini perlu dikekalkan kesatuan, keamanan dan kekal neutral.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip itu telah disampaikan kepada rakan-rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China, Rusia dan Kanada, dan ia nyata diterima baik oleh mereka.

Tambahnya lagi, atas prinsip menghormati ASEAN sebagai rantau bebas dan berpengaruh, dunia boleh menyaksikan kehadiran pemimpin-pemimpin kanan negara rakan dialog hadir dan berkongsi pandangan masing-masing.

“Kami (negara ASEAN) jelas dengan pendirian bahawa rantau ini perlu kekal dengan kesatuan, keamanan dan bersifat neutral. Apa yang penting negara-negara ASEAN ada konsensus. Jadi mungkin ada perbezaan pendapat, tetapi sebagai ASEAN kita harus kekalkan neutrality.

“Sebab itu kita dapat lihat kehadiran (kuasa-kuasa besar) seperti Amerika Syarikat, China, Rusia sebagai contoh, dan membenarkan mereka menyampaikan pandangan, biarpun ada ketegangan antara Amerika Syarikat dan Rusia, atau China.

“Kami kekal berpendirian forum ini (Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang-sidang Kemuncak berkaitan), harus dijadikan platform untuk perbincangan, bukan untuk perbalahan atau perbahasan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas tamat Persidangan Kemuncak ASEAN ke-43 dan sidang-sidang berkaitan di Jakarta, pada Khamis.

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 itu, antara perkara yang menjadi tumpuan ialah konflik ketenteraan di Myanmar, provokasi di Laut China Selatan, dan pergolakan di Semenanjung Korea.

Selain itu mereka turut membincangkan tentang isu berkaitan perubahan iklim, keterjaminan makanan, penggunaan tenaga bersih dan boleh baharu.

Selain itu Anwar turut menghadiri Sidang-sidang Kemuncak ASEAN dengan Amerika Syarikat, Korea Selatan, Kanada, India, Australia, China, Jepun, dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, selain mengadakan perjumpaan hubungan dua hala dengan beberapa negara.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau menganggap penganjuran kali ini sangat berjaya, dan meningkatkan status ASEAN sebagai pusat pelaburan dan pertubuhan ekonomi.

“Itu saya anggap berjaya walaupun mengambil masa yang panjang, iaitu selama tiga hari bagi memenuhi semua pertemuan.

“Tetapi sementara di Jakarta saya juga gunakan waktu terluang pada sebelah malam berjumpa dengan Menteri-menteri Indonesia dan lain lain, bincang kerjasama untuk tingkatkan pelaburan dan kegiatan bersama Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz, supaya dapat kita terus maju dan menimba pengalaman lain,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai prospek pelaburan, Anwar berkata, antara perkara yang dicapai ASEAN, umpamanya China komited untuk menyediakan dana tambahan, Amerika Syarikat daripada pembentukan Pusat AS-ASEAN, termasuk bantuan dana dan kemahiran dari Australia, India dan Kanada dalam beberapa bidang.

“Jadi kita nampak ada perkembangan positif dalam sidang kemuncak ini, kerana ada jalan konkrit yang boleh mempercepatkan pelaburan, dan penekanan yang dibincang secara terbuka oleh semua,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com