PUTRAJAYA – Malaysia perlu memperluas asas cukainya sebagai langkah penting untuk memastikan kelangsungan fiskal negara demi manfaat rakyat secara menyeluruh, kata Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah.
Menurut beliau, nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang kini berada sekitar 12 peratus antara terendah di dunia menuntut pendekatan lebih berani demi menjamin masa depan kewangan negara.
“Peluasan cukai bukan untuk membebankan rakyat, sebaliknya untuk melaksanakan pelbagai program pro-rakyat yang terbukti memberi impak secara langsung,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Harian Perdana Menteri, Khamis lalu.
Dalam masa sama, Tunku Nashrul menegaskan dasar Kerajaan Madani berasaskan prinsip kebertanggungjawaban dan keadilan sosial dengan matlamat utama meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.
“Pendekatan ini menekankan reformasi fiskal yang seimbang dengan mengukuhkan ekonomi tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk melihat peluasan cukai sebagai satu pelaburan jangka panjang dalam membina negara yang lebih mampan dan berdaya saing.