Monday, 29, April, 2024
Utama Ekonomi Kontraktor rayu kerajaan hapuskan kutipan SST projek lima tahun lalu

Kontraktor rayu kerajaan hapuskan kutipan SST projek lima tahun lalu

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Kedah merayu kerajaan untuk mempertimbangkan agar kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dihapuskan bagi semua projek sejak lima tahun lalu selepas tidak pernah dimasukkan dalam tawaran tender sebelum ini.

Menurut Yang Dipertuanya, Mohammad Fauzee Mohamad, kontraktor kini menanggung beban kerana mendakwa ada yang terpaksa membayar cukai itu mencecah nilai jutaan ringgit.

“Kerajaan sekarang mula membuat kutipan SST, ia dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus tapi pada tender yang dikeluarkan agensi kerajaan dan anak syarikat (GLC) sebelum ini tidak pernah dinyatakan bayaran SST.

“Jadi kontraktor menawarkan sebut harga bagi setiap projek tanpa SST dan mengambil keuntungan kira-kira 12 peratus daripada kos projek, sepatutnya ia perlu ditambah enam peratus lagi untuk SST.

“Kesemua keuntungan sebelum ini sudah dibelanjakan untuk dijadikan modal kerja dan sebagainya.
Jadi di mana kami nak cari duit untuk bayar SST untuk projek yang lepas, jika kutipan itu untuk projek bermula 2024, ia tidak mengapa kerana ia jelas dalam sebut harga,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Handholding SST Cukai Perkhidmatan Untuk Perolehan Kerajaan di sini dan dirasmikan Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd Latiff.

Mohammad Fauzee berkata lagi, pihaknya sangat berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya mengenai perkara itu agar tidak membebankan kontraktor.

Jelasnya, kutipan itu menyebabkan ramai kontraktor didenda kerana tidak mengikut syarat yang dikenakan seperti tidak menyerahkan borang SST.

“Menerusi majlis hari ini pihak kastam ada terangkan masalah-masalah yang berbangkit dan akan cuba membantu untuk mengurangkan nilai denda dan sebagainya.

” Tapi untuk bayaran SST untuk projek sebelum ini, kami harap sangat ia dapat dihapuskan. Apa tah lagi kami sekarang terbeban dengan harga bahan binaan yang semakin meningkat,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, pihaknya berharap kerajaan dapat meneliti dengan terperinci pemberian tender pada kontraktor yang menawarkan sebut harga yang jauh lebih murah sehingga tidak masuk akal berikutan ia akan memberi impak kepada rakyat.

“Contohnya ada kontraktor yang mampu tawar sebut harga RM2.1 juta sedangkan bajet kerajaan dengan projek itu adalah RM3 juta, akhirnya kontraktor yang tawar sebut harga murah ini yang dapat projek.

“Kesannya ada projek baik pulih jalan dan sebagainya tak sampai sebulan ia sudah rosak dan sebagainya, sebab mereka gunakan bahan yang berkualiti rendah untuk jimatkan kos,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com