KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima penilaian positif sebanyak 55 peratus memasuki pertengahan penggal pentadbirannya, menurut tinjauan terbaharu oleh pusat kajian bebas, Merdeka Centre.
Tinjauan itu mendapati sentimen rakyat terhadap kepimpinan Anwar meningkat susulan keyakinan bahawa negara kini berada di landasan lebih stabil dan ketidaktentuan politik telah reda.
“Selain mengetuai kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen, Anwar juga dilihat komited terhadap reformasi institusi, termasuk pembentukan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang memberi isyarat kepada pentadbiran lebih berprinsip,” menurut kenyataan media Merdeka Centre, pada Isnin.
Peningkatan penilaian turut dikaitkan dengan peranannya di peringkat antarabangsa, termasuk sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia yang meningkatkan imej beliau di mata rakyat.
Hasil tinjauan itu turut menunjukkan penilaian terhadap Kerajaan Persekutuan meningkat kepada 50 peratus, berbanding hanya 40 peratus pada tahun lalu.
Bagaimanapun, kos sara hidup kekal menjadi isu utama yang menyumbang kepada 48 peratus pengundi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Kerajaan MADANI, meskipun angka itu menunjukkan penurunan berbanding 58 peratus tahun sebelumnya.
“Persepsi negatif ini berpunca daripada kebimbangan terhadap pemotongan subsidi, ketidakpastian ekonomi serta keraguan terhadap pencapaian semasa kerajaan,” jelas Merdeka Centre lagi.
Walaupun begitu, data kerajaan menunjukkan keadaan ekonomi mula menunjukkan pemulihan. Kadar inflasi menurun kepada 1.4 peratus pada Mac 2025 – paras terendah dalam tempoh tiga tahun, manakala pertumbuhan ekonomi suku pertama mencecah 4.4 peratus.
“Langkah kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700, pemberian bantuan tunai perayaan kepada penjawat awam serta subsidi bahan api yang diteruskan turut membantu mengurangkan tekanan rakyat,” tambah kenyataan itu.
Tinjauan Merdeka Centre dijalankan antara 12 hingga 23 Mei 2025 melibatkan 1,208 pengundi berdaftar. Daripada jumlah itu, 52 peratus adalah Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus India, enam peratus Bumiputera Muslim dan enam peratus Bumiputera bukan Islam.
Responden ditemu bual secara rawak melalui panggilan telefon menggunakan talian tetap dan mudah alih.