BESUT – Tiga individu maut manakala seorang lagi dilaporkan kritikal selepas sebuah bot yang dinaiki 16 orang termasuk pemandu terbalik dalam kejadian di perairan Pulau Perhentian, malam tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam di hadapan sebuah resort di pulau berkenaan, dipercayai akibat ribut kuat yang melanda kawasan itu secara tiba-tiba.
Menurut sumber, kesemua mangsa yang terlibat telah dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian untuk rawatan awal dan kini sedang menunggu bantuan pemindahan ke Jeti Kuala Besut.
Setakat ini, identiti mangsa yang terkorban masih belum didedahkan sementara pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu dijangka mengadakan sidang media pagi ini bagi memberikan perkembangan terkini mengenai tragedi berkenaan.