ROM: Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan berjumlah RM8.13 bilion susulan lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, melibatkan pelbagai sektor strategik negara.
Pelaburan tersebut merangkumi sektor petrokimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, serta perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas – sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap daya saing ekonomi Malaysia.
Dalam sidang media sempena tamat lawatan pada Khamis, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beberapa pertemuan dua hala telah diadakan, termasuk dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Timbalan Perdana Menteri, Antonio Tajani.
“Satu perkembangan menarik ialah kesungguhan Itali untuk memperkukuh hubungan dua hala, termasuk kerjasama antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN.
“Itali melihat ASEAN sebagai pemacu utama pertumbuhan serantau dan peluang kerjasama ekonomi masa depan,” katanya.
Turut serta dalam lawatan kerja tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Selain pelaburan, lawatan itu turut membuka potensi eksport bernilai RM425 juta, melibatkan produk oleokimia, tenaga boleh diperbaharui, suapan biobahan api, aditif makanan ternakan serta makanan berasaskan pertanian.
Menurut Anwar, beberapa persetujuan penting telah dicapai bagi merancakkan kegiatan ekonomi dua hala, khususnya dalam sektor tenaga dan teknologi hijau.
Antara kerjasama utama yang dimuktamadkan ialah antara Petronas dan syarikat tenaga Itali, ENI. Beberapa syarikat dari Jepun dan Pertamina dari Indonesia turut menunjukkan minat untuk menyertai kerjasama berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan syarikat automotif global, Magna Steyr dijangka memeterai kerjasama menjelang Disember ini yang melibatkan pembangunan teknologi kenderaan elektrik (EV).
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah menjemput Perdana Menteri Meloni untuk mengadakan lawatan rasmi ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.