ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas tragedi menyayat hati yang meragut enam nyawa sekeluarga selepas kereta yang dinaiki mereka ditemukan tenggelam di Sungai Korok, Jitra.
Menerusi hantaran di platform X, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberi kekuatan menghadapi ujian berat itu.
“Saya amat sedih dan berdukacita menerima khabar tragedi menyayat hati melibatkan enam sekeluarga ini.
“Moga mereka dikurniakan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini, dan roh semua mangsa dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Tragedi itu membongkar misteri kehilangan enam beranak sejak Sabtu lalu selepas waris gagal menghubungi mereka sejak awal pagi.
Kenderaan jenis Proton Iswara yang dinaiki mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan tenggelam di dasar Sungai Korok pada pagi Isnin, sebelum pasukan penyelamat mengesahkan terdapat enam mayat di dalamnya.
Mangsa dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, dan Tuah Haydar, enam bulan
Kesemua jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Taqwa, Jerlun.