Friday, 3, May, 2024
Utama Negeri Seorang lelaki disyaki lemas semasa mandi laut

Seorang lelaki disyaki lemas semasa mandi laut

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis melalui Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Langkawi telah menerima panggilan mengenai seorang lelaki tempatan disyaki telah lemas di pantai Tanjung Rhu lewat petang Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, MRSC Langkawi telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT lebih kurang pukul 6.30 petang semalam sejurus menerima panggilan pada pukul 6.20 petang hari yang sama.

Berikutan maklumat yang diterima, Maritim Negeri Kedah dan Perlis telah mengatur gerak bot yang dalam perintah Op Aman ke perairan lokasi kejadian.

Mangsa bernama Mohd Khairie Shaari 32 tahun, sedang mandi bersama rakannya dan tiba-tiba dikatakan telah hilang disyaki ditarik oleh arus yang kuat.

Operasi CARILAMAT yang diketuai oleh MRSC Langkawi melibatkan beberapa agensi lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah Langkawi, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pangkalan Hadapan Carilamat telah ditubuhkan oleh MRSC Langkawi di pantai Tanjung Rhu.

Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).


Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com