Thursday, 10, July, 2025
Utama Umum Lawatan tiga negara tingkat imej negara, buka peluang pelaburan strategik – PM

Lawatan tiga negara tingkat imej negara, buka peluang pelaburan strategik – PM

oleh Ammar Haziq

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan dalam menjaga imej negara dan menarik pelaburan strategik sepanjang lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil yang berakhir pada Isnin.

Beliau berkata, lawatan tersebut bukan sekadar bersifat diplomatik, malah melibatkan rundingan penting yang memberi manfaat langsung kepada negara, khususnya dalam sektor penerbangan dan teknologi.

“Kita ambil tanggungjawab ini secara serius. Sepenuh masa kita tumpu untuk jaga imej negara dan beri manfaat kepada rakyat. Dalam soal kepentingan negara, jangan kita remehkan,” katanya pada sidang media sempena penutup lawatan rasmi di sini, semalam.

Menurut Anwar, antara kejayaan utama lawatan tersebut adalah rundingan berkaitan pembelian pesawat, di mana kerajaan menetapkan syarat agar sebahagian operasi dan pengeluaran dilakukan di Malaysia.

“Kalau nak beli pesawat seperti Airbus, kita mesti letak syarat. Syarikat mesti bina pengkalan di Malaysia dan sebahagian komponen mesti dihasilkan di sini. Ini keperluan yang perlu diputuskan oleh kepimpinan negara,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan potensi besar kerjasama dengan syarikat penerbangan Brazil, Embraer, yang dilihat mampu membuka laluan pasaran baharu dan memperkukuh industri penerbangan tempatan.

Lawatan rasmi ke tiga negara itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh hubungan dua hala, mempromosi kepentingan nasional serta memperluas peluang pelaburan berimpak tinggi.

Pendekatan diplomasi ekonomi yang proaktif itu, kata Anwar, penting dalam memastikan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di pentas global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com