Friday, 11, July, 2025
Utama Negeri JHEAIK pantau, pastikan tiada unsur khurafat di kubur enam beranak

JHEAIK pantau, pastikan tiada unsur khurafat di kubur enam beranak

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mengambil langkah segera dengan memantau kawasan perkuburan enam beranak yang maut dalam tragedi di Sungai Korok, bagi memastikan tiada sebarang unsur khurafat atau amalan bertentangan dengan ajaran Islam berlaku di lokasi tersebut.

Tindakan itu diambil susulan aduan masyarakat yang bimbang dengan kemungkinan berlakunya perbuatan mencurigakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, Jerlun, tempat kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad.

Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani@Zulkifli Zainuddin berkata, pihaknya telah mengarahkan anggota untuk menjalankan pemantauan secara berkala di kawasan tersebut.

“Setakat ini, kita belum memasang sebarang tali atau sekatan di kawasan perkuburan, namun pemantauan tetap dijalankan dari semasa ke semasa.

“Jika terdapat sebarang amalan yang bertentangan dengan syariat Islam, tindakan tegas akan diambil,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak melakukan perkara khurafat yang bercanggah dengan agama dan logik akal, serta menyeru pihak masjid untuk memainkan peranan aktif dalam membanteras sebarang unsur yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.

Setiausaha Masjid At-Taqwa, Jerlun, Mhd Shukri Hassan mengesahkan pihaknya telah menerima arahan daripada JHEAIK untuk turut membantu dalam pemantauan tersebut.

“Ziarah kubur tidak menjadi masalah, tetapi jangan sampai buat perkara yang bercanggah dengan agama seperti mengambil tanah kubur atau melakukan ritual melampau.

“Kalau berlaku, kami tidak teragak-agak untuk lapor kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada insiden sebelum ini melibatkan pusara arwah Nurly Sahirah Azman, pelajar UPSI yang turut menjadi tular akibat tindakan individu mengambil tanah kubur untuk tujuan tertentu.

Adik kepada arwah Mohamad Azim Izat Ishak, iaitu Mohamad Adlan Solehin, 24, turut menzahirkan harapan agar masyarakat menghormati suasana perkuburan dan tidak melakukan perkara yang tidak wajar.

“Kami faham ramai yang simpati dan mahu mendoakan arwah. Itu tidak menjadi masalah.

“Tapi jangan buat benda pelik atau tak elok. Kami sebagai keluarga pun rasa tak selesa kalau ada yang buat perkara luar biasa di kawasan kubur,” katanya.

Terdahulu, pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka iaitu Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam Sungai Korok, awal pagi Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com