KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Menteri-menteri Luar dan Menteri-menteri Ekonomi ASEAN untuk mewujudkan penjajaran yang lebih erat antara dasar luar dan dasar ekonomi rantau ini bagi merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045.
Menurut Anwar, langkah itu penting agar persefahaman yang dipersetujui tidak hanya tinggal sebagai deklarasi, sebaliknya diintegrasikan dalam institusi, strategi dan keputusan dasar yang memberi manfaat nyata kepada rakyat.
“Kita mesti melangkaui retorik dan menjadikan sinergi antara dasar luar dan ekonomi sebagai nadi kepada pembangunan serantau yang mampan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mengimbas sejarah penubuhan ASEAN, Anwar menegaskan bahawa pertubuhan serantau itu tidak lahir dalam suasana yang mudah, sebaliknya dibina di atas kefahaman mendalam terhadap risiko perpecahan dan harapan akan kestabilan menerusi dialog dan kerjasama.
“Namun kita berjaya mengekalkan keamanan dan memperluas kemakmuran dengan cara yang sukar ditandingi rantau lain. Ia hasil daripada amalan kerjasama dan kesediaan untuk terus berinteraksi, meskipun sejarah mencabar dan masa kini menguji,” katanya.
Menurut beliau, kekuatan ASEAN bukan terletak pada ketiadaan ketegangan, tetapi pada komitmen untuk mengurusnya secara matang, berlandaskan rasa hormat, dialog berterusan dan pencarian konsensus.
“Inilah cara ASEAN – dan ia mesti kekal sebagai panduan kita,” tegasnya.
Dalam ucapan itu, Anwar turut menolak tanggapan bahawa dunia boleh dibahagikan kepada sfera pengaruh kuasa besar, atau bahawa keputusan mengenai rantau ini boleh dibuat tanpa penyertaan ASEAN.
“ASEAN ialah rantau yang menentukan haluannya sendiri – secara berhemah, tersusun dan penuh tujuan. ASEAN tidak akan dibincangkan tanpa kehadirannya,” tegas Perdana Menteri.
Beliau berkata, dalam landskap global yang terus dibayangi ketidaktentuan, ASEAN perlu memperkukuh tumpuan kepada bentuk kerjasama praktikal dan berasaskan keperluan rakyat, seperti keterhubungan, keselamatan makanan, transformasi digital, pendidikan, kesihatan awam dan daya tahan iklim.
“Usaha-usaha ini terpancar dalam ketekunan seorang ibu di Batambang yang membuka gerai seawal pagi, dalam tangan seorang petani di Luzon Tengah yang mengusahakan tanah warisan keluarganya, dan dalam mata penuh harapan seorang anak di Chiang Rai yang melangkah ke sekolah dengan impian masa depan,” katanya.
Anwar menekankan bahawa dari Sittwe ke Merauke, dari Da Nang ke Dili, ASEAN mampu menjadi lebih aman dan makmur sekiranya negara anggotanya berani melihat diri mereka bukan sekadar bergerak selari, tetapi sebagai satu komuniti yang bergerak dengan tujuan bersama.