Monday, 14, July, 2025
Utama Ekonomi ASEAN mungkin dikenakan tarif lebih rendah – Marco Rubio

ASEAN mungkin dikenakan tarif lebih rendah – Marco Rubio

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota ASEAN berkemungkinan besar hanya dikenakan tarif perdagangan yang lebih rendah berbanding rantau lain, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio.

Rubio berkata, penetapan tarif berbeza itu dibuat berdasarkan status dan hubungan perdagangan antara sesebuah negara dengan Washington.

“Saya telah mendengar kebimbangan yang disuarakan oleh menteri-menteri luar dari pelbagai negara berkenaan isu tarif. Intinya, tarif ini bertujuan untuk mengimbangi semula hubungan perdagangan kami.

“Negara berbeza akan dikenakan tarif berbeza, bergantung kepada status hubungan perdagangan mereka dengan AS,” katanya.

Menurut Rubio, AS kekal terbuka untuk berunding dan memberi peluang kepada negara-negara yang terlibat, sebagaimana yang telah dilaksanakan bersama Vietnam dan United Kingdom sebelum ini.

“Vietnam dan UK telah menunjukkan hasil positif selepas rundingan. UK kini berdepan kadar tarif sifar hingga 10 peratus, manakala Vietnam berjaya menurunkan kadar tarif daripada 46 peratus kepada 20 peratus,” katanya lagi.

Rubio menjelaskan bahawa rundingan dengan beberapa negara masih berlangsung, namun kerajaan AS perlu memberikan kepastian kepada pasaran global.

“Pasaran menuntut kepastian. Jadi kita perlu umumkan bahawa kadar tarif dasar akan berkuat kuasa bermula 1 Ogos ini. Namun perbincangan tetap diteruskan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa pihaknya sedang meneliti cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-AS yang diutarakan pada Mei lalu.

Rubio berkata, tidak mustahil Presiden AS, Donald Trump akan menghadiri sidang tersebut sekiranya ia menjadi kenyataan.

“Ya, ia mungkin berlaku. Kami sedang berusaha untuk menentukan tarikhnya,” katanya.

Kenyataan Rubio itu memberi gambaran positif bahawa terdapat ruang fleksibiliti dalam pendekatan tarif AS terhadap ASEAN, selain mencerminkan usaha berterusan bagi memperkukuh hubungan dagang serantau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com