KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa hubungan antara Malaysia dan China melangkaui perdagangan dan pelaburan, merangkumi pemahaman dan penghormatan bersama terhadap budaya serta tamadun kedua-dua negara.
Menurutnya, aspek unik dalam hubungan ini perlu dipupuk seiring dengan kerjasama ekonomi.
“Semasa perbincangan saya bersama Presiden Xi Jinping, kami bukan sahaja membincangkan hubungan ekonomi, perdagangan, dan pelaburan, tetapi juga keperluan membina persahabatan ini berdasarkan kepercayaan dan penghormatan bersama.
“Seperti peribahasa Cina mengatakan ‘selepas merentasi gunung dan sungai, kita akan tiba ke sebuah kampung yang dikelilingi pohon willow dan bunga-bungaan’,” katanya pada sambutan Tahun Baru Cina 2025.
Program tersebut adalah anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China Sun Yeli.
Jelas Anwar, penekanan China dalam mempromosikan penghormatan budaya adalah sejajar dengan prinsip keterangkuman Malaysia, yang memastikan setiap rakyat mempunyai tempat di Malaysia.