Monday, 14, July, 2025
Utama Negeri Bubur asyura durian ‘kayangan’ jadi tumpuan

Bubur asyura durian ‘kayangan’ jadi tumpuan

oleh Ammar Haziq

JERLUN – Tradisi tahunan memasak bubur asyura di Kampung Lubuk Ayer, Ayer Hitam, kali ini tampil berbeza apabila sajian ikonik bulan Muharram itu diperbuat menggunakan lima jenis durian gred A, menjadikannya perhatian penduduk setempat.

Program anjuran Cabang Keadilan Jerlun itu mengetengahkan kelainan tersendiri apabila durian jenis Musang King, IOI, Udang Merah, Duri Hitam dan Telor Boya dicampurkan ke dalam bubur asyura yang dimasak secara gotong-royong oleh penduduk kampung bermula jam 9 pagi.

Menurut Ketua Cabang Keadilan Jerlun, Mohamad Rudzi Samsudin, aktiviti memasak bubur asyura sememangnya dianjurkan saban tahun, namun pihaknya mahu membawa sedikit pembaharuan agar lebih meriah dan menarik minat masyarakat.

“Kita nak cipta suasana lebih istimewa. Kebetulan pula musim durian, jadi kita fikir kenapa tidak bubur asyura ini kita campur dengan isi durian ‘kayangan’,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, dua kawah bubur asyura telah dimasak menggunakan 10 kilogram isi durian dan lapan kilogram tepung pulut, manakala bahan lain seperti kacang merah, jagung dan kacang hijau turut disediakan sepenuhnya di lokasi.

Sebanyak 400 pek bubur asyura diagihkan kepada penduduk setempat dengan anggaran kos keseluruhan mencecah RM3,500.

“Durian sahaja menelan belanja sekitar RM3,000, sementara bahan mentah lain berjumlah RM500,” ujarnya.

Sumbangan durian berkenaan diberikan oleh peniaga dari Pekan Jitra serta Naib Ketua Cabang Keadilan Jerlun, Izuwan Ibrahim, menandakan kerjasama erat antara pemimpin tempatan dan komuniti.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan Cabang Jerlun, Nazirah Ibrahim, memaklumkan seramai 25 ahli wanita Cabang turut bersama menyumbang tenaga dalam menjayakan program itu.


“Kami harap melalui program ini, penduduk dapat merasai pengalaman luar biasa makan bubur asyura berperisa durian mahal. Ia juga satu usaha kecil untuk kukuhkan silaturahim,” katanya.

Program itu bukan sahaja menyemarakkan semangat bulan Muharram, malah menunjukkan bagaimana warisan makanan tradisional boleh disuntik dengan unsur moden tanpa mengetepikan nilai kebersamaan masyarakat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com