KUALA LUMPUR:Kerajaan kini giat memperincikan semula pelaksanaan dasar penyasaran subsidi bagi mengelakkan sebarang langkah yang boleh memberi tekanan kepada rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara konsisten menegaskan pendirian agar setiap dasar yang dilaksana, termasuk berkaitan subsidi bahan api dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tidak membebankan golongan majoriti.
“Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau tidak mahu dasar-dasar tertentu menimbulkan kesan negatif terhadap rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.
“Sebab itu kita lihat selepas beberapa pelaksanaan sebelum ini, seperti penyasaran semula subsidi diesel dan usaha lain, kerajaan mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam menyemak semula mekanisme penyaluran supaya kesan negatif dapat diminimumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Pusat Media Parlimen Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan penyesuaian terhadap dasar sedia ada termasuk subsidi diesel serta cadangan melibatkan RON95 kini dalam peringkat kajian mendalam oleh kerajaan.
“Dalam isu peluasan SST contohnya, ada beberapa perkara diteliti selepas ia diumumkan. Maka penyesuaian turut dibuat, sama seperti dasar lain yang masih belum dilaksana tetapi telah dibayangkan sebelum ini, contohnya berkaitan RON95.
“Perdana Menteri turut mengangkat perkara ini dalam sesi pemukiman bersama Ahli Parlimen dan menzahirkan hasrat agar apa sahaja dasar yang mahu diperkenalkan tidak memberi beban kepada rakyat. Sebab itu juga, proses penelitian ini mengambil sedikit masa,” katanya.