Sunday, 14, July, 2024
Utama Ekonomi Fokus turunkan defisit fiskal untuk tingkat keyakinan pelabur

Fokus turunkan defisit fiskal untuk tingkat keyakinan pelabur

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Fokus kerajaan untuk menurunkan defisit fiskal dalam Belanjawan 2024 adalah untuk meningkatkan keyakinan pelabur serta memacu pertumbuhan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya defisit fiskal negara meningkat, pelabur-pelabur tidak akan yakin dengan kepimpinan kerajaan.

“Kalau kita terus dengan defisit yang ‘membengkak’, orang yang ingin melabur dia tidak yakin, ini (negara) diurus oleh barisan pimpinan politik atau pengurusan kerajaan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Anwar turut merujuk kepada falsafah Adam Smith, seorang pakar dan pemikir ekonomi, bahawa sebaik-baik mengurus ekonomi negara adalah seperti mengurus ekonomi rumah tangga.

“Hutang membengkak, anak-anak tidak mampu bayar, maknanya gagal pengurusan. Hutang yang mampu ditangani kemudian, itu ada munasabahnya terutama kalau hutang boleh bawa pertumbuhan,” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat berkata melalui Belanjawan 2024, kerajaan dilihat lebih bersungguh mahu mengejar kadar defisit fiskal yang lebih rendah berbanding menyediakan satu belanjawan yang membantu rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Anwar pada 13 Okt lepas membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat” berjumlah RM393.8 bilion, paling tinggi dalam sejarah belanjawan negara.

Dalam pembentangan belanjawan itu, defisit fiskal 2024 diunjur berkurang kepada 4.3 peratus pada 2024, berbanding sasaran 5.0 peratus tahun ini dan 5.6 peratus tahun 2022.

Anwar berkata beliau memahami tidak semua permintaan yang dikemukakan oleh semua pihak untuk Belanjawan 2024 dapat dilaksanakan namun ia akan dipertimbangkan dalam belanjawan akan datang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com