Thursday, 31, July, 2025
Utama Ekonomi Pengumuman PM legakan rakyat, pacu kestabilan ekonomi negara

Pengumuman PM legakan rakyat, pacu kestabilan ekonomi negara

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Pengumuman terkini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai langkah-langkah baharu Kerajaan MADANI disambut baik sebagai titik tolak pemulihan ekonomi negara serta kelegaan buat rakyat yang bergelut dengan tekanan kos sara hidup.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa langkah-langkah yang diumumkan jelas membuktikan kepekaan kepimpinan terhadap cabaran harian yang dihadapi rakyat dan sekali gus memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Ini cerminan kerajaan yang mendengar denyut nadi rakyat dan mengambil tindakan yang berpaksikan keadilan sosial serta kemampanan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Langkah tersebut antara lainnya meliputi bantuan kewangan langsung, sokongan kepada sektor strategik dan pembaharuan struktur fiskal yang menyasarkan kelangsungan pembangunan jangka panjang.

Menurut beliau, pendekatan MADANI tidak hanya menumpukan kepada pemberian bantuan tetapi turut mengimbangi keperluan memperkukuh kedudukan kewangan negara.

Hasil daripada pertimbangan yang teliti, dasar baharu itu dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyediakan asas kukuh untuk pembangunan lestari menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Selain itu, inisiatif tersebut turut menjadi pemangkin perpaduan nasional menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHM, Fahmi menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menyemarakkan semangat kenegaraan dan menghargai nikmat kemerdekaan yang telah dinikmati selama ini.

“Inilah masa untuk kita bersatu jiwa, menyumbang kepada kemakmuran bersama dan terus menyokong agenda pembangunan negara secara menyeluruh,”ujarnya.

Kerajaan bertekad untuk melaksanakan Belanjawan MADANI yang sedang digarap, dengan matlamat utama memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara sambil menjamin masa depan ekonomi negara yang stabil dan mampan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com