KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan perhimpunan ‘Turun Anwar’ anjuran pembangkang dapat berlangsung secara aman dan terkawal.
Arahan itu disampaikan sebagai komitmen Kerajaan MADANI untuk menghormati prinsip demokrasi, termasuk hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun, walaupun pandangan yang dibawa bercanggah dengan dasar kerajaan.
“Perdana Menteri menzahirkan pesanan agar himpunan ini dapat dilaksanakan secara damai dan berdisiplin. Beliau turut mengarahkan PDRM memastikan keselamatan awam terpelihara dan perjalanan perhimpunan tidak diganggu,” kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah dalam satu taklimat media.
Katanya, kerajaan tidak pernah menghalang suara berbeza selagi ia disampaikan secara tertib, tidak melanggar undang-undang dan tidak menimbulkan kekacauan awam.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, ruang perbezaan pandangan bukan sahaja dibenarkan, malah diraikan. Demokrasi yang sihat memerlukan wacana yang matang, bukan tindakan menekan atau menyekat kritikan secara sewenang-wenangnya,” katanya lagi.
Menurut beliau, kerajaan percaya bahawa demonstrasi aman adalah sebahagian daripada proses politik yang wajar dihormati dalam masyarakat demokratik.
Perdana Menteri juga menyeru semua pihak, termasuk penganjur perhimpunan, agar menunjukkan kematangan dan bertanggungjawab dalam menyuarakan pendapat.
“Kerajaan MADANI berdiri kukuh bukan dengan menyekat kritikan, tetapi dengan membuka ruang dialog dan toleransi atas dasar hormat dan keikhlasan,” katanya.