PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta terus diperkukuh demi memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat di semua lapisan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, sektor swasta wajar tampil lebih proaktif dengan mengemukakan idea dan pandangan bagi membantu pelaksanaan inisiatif kerajaan, termasuk dalam program sekolah angkat.
“Saya minta menteri dan kementerian masing-masing agar jangan hanya memberi jawapan berat sebelah. Libatkan sektor swasta dalam perbincangan dan beri ruang untuk mereka menyuarakan pendapat serta cadangan.
“Dengan cara ini, kita boleh sesuaikan dasar agar lebih inklusif dan berkesan,” katanya semasa melancarkan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) di sini.
Anwar turut mencadangkan agar ketua-ketua syarikat besar sendiri turun padang melawat sekolah angkat yang mereka taja, terutamanya yang terletak di kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Jika Presiden atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sendiri hadir ke program sebegini, ia bukan sahaja menunjukkan komitmen syarikat tetapi juga menjadi pembakar semangat kepada pelajar, khususnya dari keluarga susah.
“Ini mampu memberi inspirasi dan harapan kepada mereka untuk terus berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada syarikat korporat yang telah menyumbang dalam pelbagai bentuk bantuan termasuk menyokong usaha kerajaan di Gaza, membantu pelajar miskin dan menjayakan program sekolah angkat.
Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terus terperangkap dalam sentimen perkauman atau perseteruan politik sempit, sebaliknya bersatu hati membangunkan negara.
Beliau memberi contoh kejayaan projek pembaikan tandas sekolah yang sering dijadikan bahan kritikan oleh pembangkang, meskipun hakikatnya ia melibatkan pemulihan lebih 1,200 tandas sekolah di seluruh negara demi keselesaan murid.
“Walaupun dikritik, hampir RM1 bilion diperuntukkan untuk baik pulih 1,200 tandas. Bayangkan kalau anak cucu kita pergi sekolah dengan kemudahan tandas yang tidak terurus,” katanya.
Menurutnya, program Sekolah Angkat MADANI kini sudah merangkumi 1,000 buah