Friday, 1, August, 2025
Utama Politik Pembangkang patut guna Parlimen, bukan jalanan – Saifuddin

Pembangkang patut guna Parlimen, bukan jalanan – Saifuddin

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Kerajaan MADANI kekal komited terhadap prinsip Perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara rakyat, namun sebarang tuntutan terhadap kerajaan sepatutnya disuarakan melalui saluran Parlimen, bukan melalui himpunan jalanan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya tidak terlalu memberi tumpuan kepada perhimpunan yang berlangsung di ibu negara hari ini kerana menghormati keputusan mahkamah yang menyatakan ia tidak perlu dimaklumkan kepada polis.

“Bila mahkamah kata tak perlu maklumkan kepada polis, kita ikut… mereka minta Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun, Anwar dah turunkan harga minyak. Mereka minta Anwar turun, Anwar turunkan tarif elektrik. Masih nak suruh turun lagi?

“Tapi isu pokoknya, kalau pembangkang betul-betul hormati prinsip demokrasi, saya nak tanya dua soalan – mereka nak buat di luar Parlimen atau di dalam Parlimen?” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pusat Temu Duga Kanak-Kanak (CIC) Kontinjen Kedah, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman.

Saifuddin berkata, saluran paling tepat untuk membawa sebarang tuntutan terhadap kerajaan adalah melalui Dewan Rakyat, bukannya di jalanan yang tidak memberi sebarang kesan dasar kepada pentadbiran negara.

“Dalam Parlimen, Perdana Menteri sendiri buka ruang seluas-luasnya, malah bersedia mendahulukan usul pembangkang termasuk undi tidak percaya, dengan menangguhkan dahulu urusan kerajaan.

“Tetapi sidang Parlimen dah masuk hari kelima, sunyi sepi, tiada sebarang usul pun dibawa. Jadi, di mana sebenarnya keikhlasan mereka?” katanya.

Beliau berkata, jika benar pembangkang mahu menjunjung sistem demokrasi, mereka sepatutnya berani menggunakan saluran Parlimen yang sah, bukan sekadar menimbulkan keresahan di jalanan.

“Rakyat boleh menilai sekarang. Soalnya, mereka pegang prinsip demokrasi atau sekadar mahu wujudkan suasana tidak tenteram?

“Mereka nak cipta wajah hodoh negara, beri isyarat negatif kepada pelabur ketika ekonomi kita sedang mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan kukuh,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com