MUAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperkasa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin utama dalam melonjakkan pembangunan ekonomi Johor dan mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pintu masuk strategik negara.
Beliau berkata, pelaksanaan JS-SEZ bukan sekadar mempercepatkan kemasukan pelaburan ke negeri berkenaan, malah menjadi jambatan sinergi antara Malaysia dan Singapura dari aspek industri, teknologi dan tenaga kerja.
“Saya sendiri telefon Perdana Menteri Singapura ketika itu dan berbincang. Kini dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, kita bincang pula dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan bawa hampir separuh kabinet ke Johor, tak pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, JS-SEZ sudah menunjukkan hasil positif apabila berjaya menarik pelaburan berbilion ringgit dalam sektor-sektor strategik.
Katanya, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam persaingan pelaburan serantau, sebaliknya perlu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan kedudukan Johor yang berjiran dengan sebuah negara maju seperti Singapura.
“Ini peluang yang perlu kita rangkul. Johor punya potensi besar dan kita harus teroka dengan kerjasama erat dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas sokongan Seri Paduka dalam mengangkat Johor sebagai pemacu utama ekonomi negara.
Menurut beliau, Johor mencatatkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia, berjumlah RM30.1 bilion bagi suku pertama 2025, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi dan kestabilan negeri itu.
Untuk rekod, pada Januari lalu, Malaysia dan Singapura telah memeterai perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, bagi meningkatkan kerjasama ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.
JS-SEZ merupakan projek mega pembangunan merangkumi beberapa kawasan utama termasuk Iskandar Malaysia, Desaru, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai, Skudai dan Sedenak.
Zon ekonomi itu disasarkan menarik sekurang-kurangnya 100 projek dalam tempoh 10 tahun, menjadikan Johor sebagai antara hab pelaburan terpenting di rantau ini.