Monday, 22, September, 2025
Utama Ekonomi Penyahsenaraian FGV mampu pulihkan matlamat asal Felda – PM

Penyahsenaraian FGV mampu pulihkan matlamat asal Felda – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Penyahsenaraian FGV Holdings Bhd daripada Bursa Malaysia mulai 28 Ogos ini diharap dapat mengembalikan syarikat itu kepada matlamat asal penubuhannya, iaitu memberi manfaat secara langsung kepada golongan peneroka Felda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut membolehkan Felda dan FGV menetapkan hala tuju baharu tanpa terikat dengan kekangan pasaran awam, sekali gus mengutamakan kepentingan peneroka serta koperasi mereka.

“Kita boleh mula nyah senarai mulai 28 Ogos ini. Maknanya Felda tidak terikat, Felda satu kekuatan dengan FGV boleh tentukan arah tuju mereka dan boleh beri jaminan dengan koperasi (Koperasi Permodalan Felda Bhd) supaya faedah dan kepentingan peneroka itu menjadi keutamaan,” katanya.

Menurut Anwar, yang juga Menteri Kewangan, Kerajaan Madani mahu memastikan pengurusan FGV selepas penyahsenaraian dapat dilaksanakan dengan baik sejak awal, agar segala projek berkaitan memberikan hasil seperti yang diharapkan.

“Sebaik saja hal ini diuruskan, saya bersama Datuk Seri (Ahmad) Zahid (Hamidi) akan tetapkan dengan Ahmad Shabery Cheek (Pengerusi Felda) dan rakan-rakan, dan saya nak pastikan pengarahan yang jelas daripada Kerajaan.

“Iaitu, pastikan FGV kembali kepada matlamat asal Felda. Keutamaannya kepada peneroka… hak mereka, hasil mereka, dan koperasi yang mereka tentukan. Jadi yang selanjutnya biar mereka uruskan untuk beberapa bulan pertama, supaya akan berhasil projek Felda seperti mana diinginkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Karnival lima hari itu bermula 30 Julai hingga 3 Ogos, membawa tema ‘Desaku Mendunia’, dan menghimpunkan tiga program utama iaitu Karnival Usahawan Desa oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Sambutan Hari Peneroka Felda oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta Showcase Satu Daerah Satu Industri oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa pemilikan 92 peratus saham FGV oleh Felda membuka laluan kepada pengambilalihan penuh dan penstrukturan semula syarikat berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah itu akan dimuktamadkan oleh Bursa Malaysia dan keuntungan daripada penstrukturan semula itu dijangka disalurkan kembali kepada warga peneroka.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com