KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pakar ekonomi inovasi dari Kolej Universiti London (UCL), Profesor Dr Mariana Mazzucato, di ibu negara, semalam.
Menurut Perdana Menteri, pertemuan itu membincangkan strategi berorientasikan misi yang menggalakkan kerjasama sektor awam dan swasta dalam memacu pelaburan hijau, inovasi teknologi dan transformasi digital negara.
“Turut disentuh ialah keperluan memperkasa perkhidmatan awam yang moden dan tangkas sebagai tunjang kemajuan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Profesor Mazzucato juga berkongsi pandangan bahawa Malaysia perlu menangani cabaran sistemik dengan memperkukuh strategi digital, memupuk inovasi serta membina kemahiran masa depan demi menjayakan transformasi jangka panjang negara.